Memorandum Kerjasama Misi Kemanusiaan International Flotilla 2 Arakan ini merupakan sebuah dokumentasi induk yang menerangkan berkenaan prinsip dan kaedah kerjasama yang dijalinkan untuk Misi Kemanusiaan Antarabangsa Flotilla 2 Arakan (F2A).

Projek F2A ini merupakan sebuah misi kemanusiaan di bawah Gerakan Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Ianya adalah usaha C2C (Community To Community) bukan G2G (Government To Government) atau gerakan kepartian tetapi merupakan usaha masyarakat antarabangsa untuk memecahkan tembok sekatan Kerajaan Myanmar ke atas Negeri Rakhine/Arakan dan penduduk Rohingya di sana.

Misi ini dianjurkan secara bersama oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, Turki, EU, USA, Arab Saudi, Palestin dan surat jemputan kerjasama sedang diedarkan ke serata dunia bagi menambah partisipasi masyarakat sivil antarabangsa ke dalam projek ini. Kami menggunakan SOP yang sama seperti misi kemanusiaan antarbangsa Mavi Marmara dan Women Boat To Gaza.

Di setiap Negara tersebut, sekretariat-sekretariat Flotilla2Arakan (F2A) dibentuk untuk mengumpulkan sokongan serta kesedaran NGO, kerajaan, parti politik dan masyarakat umum berkenaan Misi Kemanusiaan Flotilla2Arakan ini. Dianggarkan setiap negara memerlukan dana sekurang-kurangnya USD400,000.00 untuk membiayai kos bagi sebuah kapal yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 150 Aktivis Kemanusiaan bersama dengan barangan bantuan.  F2A ini akan menjadi sebuah misi berterusan sekurang-kurangnya 3 kali setahun sehingga sekatan yang dibuat ke atas Negeri Rakhine/Arakan di Myanmar benar-benar diruntuhkan dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke seluruh negeri tersebut, kumpulan pelarian Rakhine/Arakan dapat pulang kembali ke tanah air mereka serta pembangunan negeri tersebut dapat dijalankan dengan sempurna.

NGO di Malaysia telah diamanahkan untuk membentuk Sekretariat Induk sebagai koordinator antarabangsa bagi F2A ini. Maka, dokumen ini dikeluarkan bagi membina kesepakatan dan kesatuan pemikiran, hati serta tindakan agar tujuan misi ini dijalankan tercapai dengan jayanya.